Sunday, February 8, 2009

Rintihan Hati

Ade yang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud
di tikar sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al
Quran dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Atau
membilng biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid.
Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir
miskin.


Ibadah itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak
bertepi. Ibadah tidak terbatas pada sembahyang sunat
berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak terbatas pada puasa
sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa sehari
berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat,
menunaikan haji dan sebagainya.

Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan antara
bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak
perlu mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan
rintihan hati kepada Allah. Ia merupakan ibadah yang
besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi tidak ramai
yang mampu melakukannya.

Mengingati Allah dikira ibadah kerana ia menandakan
seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba
yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke dunia,
tak membawa walau seurat benang di tubuh.
Justeru hati
sentiasa ingat kepada Yang Maha Pencipta, sentiasa
mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung
kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas
segala nikmat kurniaanNya.

Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan
Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang,
fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di luar
sembahyang. Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah
hadis Qudsi yang bermaksud:

“Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku
juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa
kepadaKu, Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila
engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang
engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu dan Aku
mematuhimu, dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu
kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu,
sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah
yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di
dalam perut ibumu. Aku tetap menguruskan segala
keperluanmu dengan baik, sehingga terlaksana semua
takdirKu terhadapmu. Apabila Aku lahirkan engkau ke
alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini
sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik
kepadamu.”

Memang wajar kita mengingati Allah yang telah banyak
memberi nikmat kepada kita. Allah yang sentiasa ingat
akan kita. Yang terus saja memerhatikan kita. Yang
terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki
kepada kita walaupun Dia seringkali diderhakai.

Dengan apa patut kita balas nikmat Allah yang terlalu
banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta,
cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang
dicintai. Begitu juga dengan Allah. Ingatlah Dia
kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan semestinya
di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia
tetapi hati bersama Allah. Agar setiap detik kita
sentiasa dalam ibadah. Rasulullah bersabda yang
maksudnya:

“berfikir sesaat itu lebih baik daripada
sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk).”

Demikian keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir
tentang kebesaran Allah. Akal yang berfikir akan
meruntun hati agar sentiasa ingat kepada Allah.
Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa
hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu
bermunajat dengan Allah; menginsafi kelemahan diri,
lantas mengharap belas kasihan Allah kepada kita yang
terlalu banyak berbuat dosa. Hati merintih dan
mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah
perasaan betapa hinanya diri yang berasal dari setitik
air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam
kehinaan selama-lamanya.

Rintihan hati inilah tanda kita hamba yang tak punya
kuasa apa-apa untuk menghalang kudrat dan iradahNya.
Tak berupaya menepis Qadak dan QadarNya. Hanya belas
kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan diri
daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah
ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati
seorang tuan.

Adakalanya segaja Allah timpakan ujian yang berat ke
atas hambaNya. Ketika itu hati si hamba akan merintih
walaupun bibir boleh mengukir senyum. Kadang-kadang
ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah tidak
mendengar rintihan hati hambaNya.

Sebenarnya, Allah rindu untuk mendengar rintihan hati
si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat Allah dan ia
berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan
daripada dalam diri. Lalu kerana itu, Allah datangkan
ujian silih berganti agar rintihan hati si hamba tidak
terputus kepada Tuhannya.

Hukama berkata: “Allah lebih suka mendengar rintihan
hamba yang berdosa (termasuk rintihan hati) daripada
seorang abid yang duduk beribadah.”

Demikian tingginya nilai rintihan hati seorang hamba
dibandingkan dengan ibadah lahir. Ibadah lahir belum
tentu melahirkan rasa kehambaan, kerana boleh jadi
seorang yang beribadah itu berasa selamat dengan
ibadahnya.

Ingatan hati dan rintihan hati seorang insan terhadap
Tuhannya datang daripada rasa kehambaan yang tulen.
Rasa kehambaan inilah tanda seorang insan telah
mendapat nikmat iman yang tinggi nilainya. Tiada
sesuatu yang lebih berharga daripada nikmat iman.
Beruntunglah mereka yang dianugerahi nikmat ini. hanya
hamba-hambaNya yang terpilih saja yang akan dikurniai
rasa kehambaan.

Seorang hamba yang hatinya sentiasa ingat dan merintih
kepada Allah tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah
dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian, dan
tidak menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa
serba kekurangan dan amat memerlukan Allah dalam semua
keadaan. Inilah yang dikatakan hati yang hidup, yang
sentiasa dalam beribadah. Apatah lagi jika ditambah
dengan banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang,
puasa, sedekah dan sebagainya; makin tinggilah darjat
si hamba di sisi Khaliqnya.

No comments:

Lepas Follow, Tinggalkan Link Anda Di Sini Pulak Ye: